Golongan munafik - Sejahat-jahat makhluk Allah

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


APABILA DIKATAKAN KEPADA MEREKA: ``BERIMANLAH KAMU SEBAGAIMANA ORANG-ORANG LAIN TELAH BERIMAN'', MEREKA MENJAWAB: ``AKAN BERIMANKAH KAMI SEBAGAIMANA ORANG- ORANG YANG BODOH ITU TELAH BERIMAN?'' INGATLAH, SESUNGGUHNYA MEREKALAH ORANG- ORANG YANG BODOH , TETAPI MEREKA TIDAK TAHU. (Ayat 13)

Ibn al-Jauzi menaqalkan tafsiran ayat `Apabila dikatakan kepada mereka berimanlah kamu' kepada dua pendapat:

i. Mereka golongan Yahudi seperti pendapat Ibn Abbas dan Muqatil.

ii. Mereka golongan munafik seperti pendapat Mujahid.

Ibn Zaid - Mengikut pendapat ini terdapat dua bahagian :

i. Sahabat Nabi s.a.w. seperti pendapat Ibn Abbas tanpa menentukan mana-mana sahabat.

ii. Mereka menentukannya, mereka ialah Sa`ad bin Muaz, Abu Lubabah, Usaid seperti yang disebut oleh Muqatil.

Kemudian disuruh `Berimanlah kamu' ditafsirkan iman dengan :

i. Tasdiq (dengan membenarkan) Nabi s.a.w. Ini pendapat yang dimaksudkan kepada Yahudi. Ia berdasarkan riwayat al-Kalbi daripada Abi Solih daripada Ibn Abbas.

ii. Beramal mengikut apa yang dizahirkan. Ini pendapat yang dimaksudkan kepada orang-orang munafiqun.

`Mereka menjawab, akan berimankah kami sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman.' Orang-orang yang bodoh ialah orang-orang yang jahil lagi daif, dan sedikit makrifat untuk mentakdirkan kebaikan-kebaikan dan kemudaratan. Sebab itu seperti kata Ibn Kathir, dinamakan perempuan-perempuan dan kanak-kanak sebagai orang-orang yang bodoh seperti ayat 5 daripada surah an- Nisa.

Kebanyakan ulama salaf mentafsirkan ayat-ayat ini dengan perempuan dan kanak-kanak. Imam an-Nasafi di dalam tafsirnya Madarik at-Tanzil berkata: Pertanyaan `akan berimankah kami' sebagai pertanyaan mengingkari.

Seterusnya ada `lam' pada kalimah `orang-orang bodoh' mengisyaratkan dengannya kepada manusia. Sebenarnya mereka membodohkan orang-orang yang berakal waras kerana kejahilan yang mereka anuti dalam kebenaran.

`Ingatlah sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh'. Allah menjawab semula ucapan mereka dalam definisi bodoh bagi orang yang beriman dengan penegasan. kata-kata `ingatlah' memberi kesungguhan yang sebenarnya bodoh adalah mereka itu sendiri.

Syeikh al-Maraghi berkata: Ayat 13 ini ditutup dengan kalimah `mereka tidak tahu'. Sedangkan sebelum ayat ini digunakan perkataan `mereka tidak sedar' kerana iman itu tidak sempurna tanpa ilmu yakini, dan faedah yang diharap daripadanya ialah kebahagiaan hidup dan kesusahan yang tidak didapatinya tanpa memahami hakikatnya. Mereka yang munafik tersilap mendapat maslahat.

Bodoh

Imam an-Nasafi menjadikan ayat ini sebagai dalil supaya para ulama merasa tenang apabila bertembung dengan tindakan orang-orang yang bodoh.

Di sini dinaqalkan pendapat Imam al-Maraghi: Allah menyatakan ayat- ayat ini adalah sebahagian daripada kejahatan, kekufuran dan nifaq mereka. Dinyatakan tipu helah dan jenayah mereka, kegelinciran kemudian menzahirkan kerosakan dan menyatakan kebatilannya.

Dihikayatkan apa yang dibuat oleh orang-orang beriman kepada mereka dengan memberikan nasihat ketika mereka diajak meninggalkan kejahatan dan akhlak yang dangkal, sehingga membawa kepada fitnah dan kerosakan. Sebaliknya supaya mereka berpegang dengan nilai-nilai akhlak yang mulia mengikut orang-orang yang waras fikirannya. Kemudian Allah menjawab sanggahan mereka yang menunjukkan besarnya kejahilan mereka dan egonya mereka dalam kebodohan dan kelalaian.

¥ DAN APABILA MEREKA BERJUMPA DENGAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN, MEREKA MENGATAKAN ``KAMI TELAH BERIMAN.'' DAN APABILA MEREKA KEMBALI KEPADA SYAITAN-SYAITAN MEREKA, MEREKA MENGATAKAN: ``SESUNGGUHNYA KAMI SEPENDIRIAN DENGAN KAMU, KAMI HANYALAH BEROLOK-OLOK. (Ayat 14)

`Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman'. As-Samarqandi di dalam tafsirnya Tafsir as-Samarqandi berkata: Diturunkan ayat ini untuk menyebut sifat orang-orang munafiqin di kalangan mereka seperti Abdullah bin Ubai bin Salul, Sad bin Qais, Muta'b bin Qusyair dan lain-lain.

Ini kerana apabila Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali, melalui atau berada berhampiran puak munafiqin, Abdullah bin Ubay berkata kepada rakan-rakannya : Lihat bagaimana aku perbodohkan mereka di hadapanmu, supaya kamu dapat meniru lagakku dalam percakapan. Lantas dia mendekati Abu Bakar dengan memimpinnya seraya memuji : Selamat datang penghulu Bani Tamim, yang bersama Rasulullah dalam Gua Thur, pilihan di kalangan umatnya, berkorban jiwa raga dan harta benda untuk Rasulullah s.a.w.

Kemudian beliau memimpin tangan Umar pula seraya berkata : Selamat datang Penghulu Bani A'diy yang kuat dan tegas pada agama Allah, berkorban jiwa raga dan harta benda untuk Rasulullah. Selepas itu memegang tangan Ali seraya berkata : Selamat datang Penghulu Bani Hashim, sanggup berkorban apa sahaja, jiwa raga dan harta untuk Rasulullah s.a.w. dan yang awal berhijrah.

Ali lantas berkata kepada Abdullah bin Ubay, takutlah kamu kepada Allah wahai Abdullah dan jangan kamu jadi munafik kerana orang-orang munafik adalah sejahat-jahat makhluk Allah. Abdullah bin Ubay berkata: Kenapa kamu berkata begitu kepadaku, sedangkan jiwaku sama seperti imanmu, kepercayaanku sama seperti kepercayaanmu.

Al-Allamah Rashid Ridha menjawab tohmahan golongan yang cetek fikirannya dan mendakwa ayat ini untuk orang munafik pada zaman tersebut sahaja dengan alasan digunakan sighah madhi (yang telah lalu) pada `iza' (apabila). Jawabnya, tidak. Ini kerana :`iza' juga menunjukkan masa depan. Ia adalah uslub untuk menghina mereka dan dipilih sighah ini bagi menggambarkan barangan yang nifaq itu tidak sesuai dipasarkan di kalangan orang-orang yang beriman. Dan olok-olok mereka itu ditolak sehingga memakan diri mereka sendiri.

Olok-olok

`Mereka mengatakan kami telah beriman.' Ibn Kathir berkata: Mereka cuba menzahirkan kepada orang yang beriman tentang keimanan mereka dan kebersamaan mereka sebagai tipu helah terhadap orang yang beriman dan sebagainya, seperti nifaq, olok-olok dan menyembunyikan hakikat mereka. Ini kerana supaya mereka dapat menerima habuan harta benda seperti ghanimah.

Imam an-Nasafi berkata hampir sama dengan ayat pertama yang menerangkan mazhab munafiqin dan menterjemahkan sifat nifaq mereka.

`Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka'. Al-Mawardi di dalam tafsirnya an-Nukat wa al-Uyun menyebut dua pendapat:

i. Mereka adalah Yahudi yang menyuruh mereka mendustakannya. Ini pendapat Ibn Abbas.

ii. Ketua-ketua mereka dalam kekufuran. Ini pendapat Ibn Mas`ud.

As-Samarqandi menaqalkan pendapat al- Kalbi, yakni yang mengetuai kejahatan mereka seramai lima orang, iaitu kumpulan daripada Yahudi; Kaa'b bin al-Asraf di Madinah, Abu Bardah al-Aslami daripada Bani Salim, Abu al-Sauda' di Syam, Abdul Dar daripada Juhainah dan Auf bin Malik daripada Bani Asad.

Al-Allamah Rashid Ridha mentafsirkan syaitan-syaitan sebagai pembawa-pembawa fitnah, pelaku-pelaku kerosakan dan penolong-penolong kebatilan. Mereka merupakan golongan yang menghalang jalan kebenaran dengan sesuatu yang mereka dirikan di hadapannya, iaitu rintangan-rintangan, was-was dan waham. Selain itu, mereka kenakan juga duri-duri aib dan cela serta mudarat-mudarat yang keji.

Syeikh berkata: Mufassir kita iaitu al-Jalal menyebut syaitan-syaitan ialah ketua-ketua mereka. Jawab Syeikh Rashid Ridha : Yang sebenarnya inilah pendapat kami.

`Kepada syaitan-syaitan mereka'. Terdapat tiga pendapat tentang perkataan `kepada':

i. Dengan makna bersama syaitan-syaitan mereka.

ii. Dengan makna matlamat yang dicapai. Ini pendapat ulama Basrah.

iii. Dengan makna, `kepada' itu tidak sempurna kalam tanpanya. Ini pendapat sebahagian ulama Kufah.

Ibn Jarir berkata : Syaitan-syaitan ialah setiap sesuatu yang melampau sama ada manusia atau jin seperti firman Allah ayat 112 Surah al-An`am.

Dalam Musnad, daripada Abu Zar katanya: Sabda Rasulullah s.a.w. Kamu mintalah perlindungan kepada Allah daripada syaitan, manusia dan jin. Aku bertanya, Ya Rasulullah, apakah pada manusia ada syaitan? Jawab baginda : Ya.

`Sesungguhnya kami sependirian dengan kamu'. Ayat ini bermaksud sesungguhnya kami sentiasa bersahabat, bersetuju, dan mengikut agama kamu.

`Kami hanyalah berolok-olok'. Ia bermaksud bahawa sebenarnya kami mempermainkan mereka dan mengolok-olokkan mereka. Ada pendapat menyatakan yang dimaksudkan adalah kami hanya mengolok-olok Muhammad s.a.w. dan sahabat- sahabatnya seperti yang dinyatakan oleh as-Samarqandi.

Glosari

¥ Daif : Lemah.

¥ Dinaqalkan : Dipindahkan perkataan atau pendapat.

¥ Sighah madhi : Satu lafaz dalam ilmu nahu yang menunjukkan sudah berlaku.

¥ Waham : Kesamaran.

No Comment

Post a Comment