Enggan terima Taurat - Gunung Tur diangkat
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
AS-SAMARQANDI di dalam tafsirnya, Bahr al-Ulum berkata: "Ibn Abbas menyebut tentang perjanjian dan membahagikannya kepada dua. Perjanjian yang pertama ketika Allah keluarkan mereka daripada sulbi Adam. Dan perjanjian yang kedua ketika mereka mengambil kitab Taurat dan sekalian kitab."
Syed Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: ''Kemudian ayat-ayat yang berikut terus membentangkan pendirian-pendirian Bani Israel dalam rangka menghadapi kaum Yahudi Madinah yang dapat didengar oleh kaum Muslimin.''
DAN (INGATLAH), KETIKA KAMI MENGAMBIL PERJANJIAN SETIA KAMU SEMASA KAMI ANGKATKAN GUNUNG TURSINA DI ATAS KAMU (SAMBIL KAMI BERFIRMAN): "TERIMALAH TAURAT YANG TELAH KAMI BERIKAN KEPADA KAMU (SERTA AMALKANLAH) DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH, DAN
INGATLAH (JANGAN LUPAKAN) APA YANG TERSEBUT DI DALAMNYA, SUPAYA KAMU BERTAQWA.
KEMUDIAN SESUDAH ITU KAMU MEMBELAKANGKAN PERJANJIAN SETIA KAMU ITU (TIDAK MENYEMPURNAKANNYA); MAKA KALAU TIDAKLAH KERANA LIMPAH KURNIA ALLAH DAN BELAS KASIHANNYA KEPADA KAMU (DENGAN MEMBUKA PINTU TAUBAT), NESCAYA MENJADILAH KAMU DARIPADA GOLONGAN ORANG-ORANG YANG RUGI. (SURAH AL-BAQARAH AYAT 63 DAN 64).
Firman Allah Taala 'Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu'. Ingatlah ketika Kami mengambil daripada kamu perjanjian, dikuatkan dengan amalan sebagaimana termaktub dalam kitab Taurat. Dan dikehendaki dengan amalan ialah segala hukum-hukum yang terdapat dalam Taurat.
'Semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman)': Gunung atau bukit Tur ialah tempat Allah berkata-kata kepada Musa.
Abu `Ubaidah berkata: At-Tur dalam bahasa Arab bermaksud gunung atau bukit. Ibn Qutaibah berkata: At-Tur dengan makna gunung atau bukit dalam bahasa Siryaniah. Ibn Abbas berkata: Tidak tumbuh daripada gunung, maka ia dianggap Tur dan apa-apa yang tidak tumbuh, maka tidak dianggap Tur.
Persoalannya di manakah terletaknya Tur ini?
Pertama: Dari banjaran gunung Palestin. Inilah pendapat Ibn Abbas.
Kedua: Gunung yang mereka turun dengan asalnya. Inilah pendapat Qatadah.
Ketiga: Gunung yang Allah Tajalli baginya. Inilah pendapat Mujahid.
Jumhur ulama berkata: ''Sesungguhnya diangkat gunung di atas mereka kerana keengganan mereka menerima Taurat, sedangkan as-Suddi berkata: Kerana keengganan mereka masuk ke negeri suci.''
Al-Imam an-Nasafi di dalam kitabnya, Madarik at-Tanzil berkata: "Iaitu Kami mengangkat gunung hingga kamu terima dan memberi perjanjian. Yang demikian itu bahawa Nabi Musa a.s. mendatangkan kepada mereka lembaran-lembaran Taurat, kemudian mereka melihat terdapat padanya tugasan dan juga taklif yang banyak lagi membebankan, menyebabkan mereka merasa sukar dan berat untuk menerimanya sehingga Allah memerintahkan Jibril mengangkat gunung dari tapaknya sehingga memayung atas kepala mereka seraya Musa memberi kata dua kepada mereka, sama ada kamu mahu terima atau dicampak ke atas kamu dan akhirnya terpaksa mereka terima."
'Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh', iaitu beramallah dengan apa yang ada dalam Taurat dengan penuh kesungguhan dan keazaman. Dikehendaki dengan kuat di sini empat pendapat.
1. Bersungguh. Inilah pendapat Ibn Abbas, Qatadah dan as-Suddi.
2. Ketaatan. Inilah pendapat Abu al-`Aliyah.
3. Beramal dengannya. Inilah pendapat Mujahid.
4. Kebenaran. Inilah pendapat Ibn Zaid.
Dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, dengan cara kamu menjaganya dan jangan kamu lupakannya, di samping jangan cuai dan lalai daripadanya.
Supaya kamu bertaqwa. Supaya selamat kamu daripada binasa di dunia. Begitu juga azab di negeri akhirat atau mengharap daripadamu supaya kamu menjadi golongan yang bertaqwa. Ibn Jarir at-Tabari berkata: ''Ingatlah apa yang Kami datangkan kepadamu daripada kitab Kami berkaitan dengan janji baik dan ancaman azab. Begitu juga mengajak yang baik dan melarang daripada mengerjakan yang jahat. Maka hendaklah kamu membacanya dan mengambil iktibar dengannya. Hendaklah kamu tadabbur jika kamu mampu melakukannya supaya kamu selamat dan benar-benar takut daripada hukum balasan-Ku dengan cara kamu kekal dalam kesesatanmu dan berhenti untuk mentaati-Ku. Sebaliknya hendaklah kamu membuang apa yang berlaku ke atas kamu daripada segala maksiat.'' Mengikut Ibn Abbas: Dengan maksud, kamu hendaklah membuang segala sifat yang tidak baik.
Kemudian Allah Taala sifatkan mereka dengan kata-Nya, Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya); dengan sebab kamu ingkar dan berpaling daripada perjanjian yang diambilnya.
Maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dengan menerima taubat dan belas kasihan-Nya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), Dengan keampunan daripada segala kegelinciran dan kesalahan. As-Syaukani berkata di dalam tafsirnya, Fath al-Qadir: "Bahawa kamu mendapati dengan lemah lembut Tuhan dan rahmat-Nya sehingga kamu zahirkan taubat atas kelemahan kamu." Perkataan fadhl bermaksud penambahan.
Ibn Fariz di dalam al-Mujmal berkata: ''Fadhl dengan maksud penambahan dan kebaikan, sedangkan ifdha pula bermaksud ihsan.'' Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata di dalam kitabnya atl-Taubah: "Perkataan taubah yang berasal daripada himpunan huruf Ta', Wau, Ba' adalah bererti pulang atau kembali. Taubat kepada Allah bererti; Kembali kepada Allah dan pulang ke pangkuan-Nya serta berada di ambang pintu-Nya. Ini kerana pada asal manusia adalah bersama Allah Taala, bersambungan tali perhubungan dengan-Nya dan memerlukan kepada-Nya untuk kehidupan jasad dan rohnya. Keperluannya kepada Allah di alam Akhirat adalah lebih daripada keperluannya di alam dunia kerana keperluan jasadnya adalah sama dengan binatang sementara keperluan rohnya membezakannya dengan binatang dan haiwan.
Allah s.w.t. telah menciptakan manusia dengan tabiat yang bercampur. Di dalam diri manusia ada kepalan tanah liat dan ada roh. Lantaran Pencipta inilah yang menjadikan manusia layak disujud oleh para Malaikat sebagai memuliakan serta menghormati kedudukannya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: (Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat; "Sesungguhnya Aku menciptakan manusia daripada tanah. Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya roh (ciptaan)-Ku, maka hendaklah kamu bersujud kepadanya. (Surah Shad: 71-72).
Allah s.w.t. tidak memerintahkan para malaikat supaya sujud kepada Adam a.s. melainkan setelah disempurnakan kejadiannya serta dimasukkan ke dalamnya roh. Jika manusia mentaati Tuhannya bererti dia telah meninggalkan unsur roh berbanding unsur tanah liat. Dengan ungkapan lain, dia telah meninggikan aspek kerohanian ke atas aspek kebendaan, meninggikan aspek Rabbani ke atas tanah yang hina. Dengan ini manusia menjadi tinggi serta menakah darjat sehingga mendekati Allah s.w.t. berdasarkan kesungguhannya dalam peningkatan kerohanian.
Jika manusia menderhakai Tuhannya, maka perkara yang berlawanan dengan ayat itu yang akan berlaku. Dia meninggikan tanah liat daripada roh, memenangkan aspek kebendaan yang hina ke atas aspek Rabbani yang tinggi. Lantaran ini manusia menjadi hina dan rendah martabatnya. Dari aspek yang lain dia menjadi semakin jauh daripada Allah s.w.t. berdasarkan kadar dosa dan kederhakaannya. Taubat memberikannya kesempatan untuk mengembalikan sesuatu yang sudah lenyap dan membetulkan hala tuju. Dia dapat naik menakah lebih tinggi setelah sekian lama terjatuh, mendekati Tuhannya setelah sekian lama berjauhan dan kembali kepada-Nya setelah sekian lama tersesat.
Nescaya menjadilah kamu golongan orang-orang yang rugi. Iaitu binasa di dunia dan akhirat. Rugi juga dengan maksud kekurangan.
Ibn Jarir at-Tabari berkata: "Kalaulah tidak kurniaan Allah ke atas kamu dan rahmat-Nya dengan menyelamatkan kamu, iaitu penerimaan taubat kamu daripada kesalahan dan maksiat, nescaya sudah tentu kamu termasuk dari kalangan orang yang rugi dan binasa disebabkan kamu menyalahi segala arahan Allah dan ketaatan kepada-Nya." Mengikut riwayat Abu al-`Aliyah, maksud fadlullah ialah Islam dan rahmatnya ialah al-Quran.''
Syed Qutub berkata: ''Yang penting di sini ialah menghadirkan pemandangan perjanjian itu dan keselarasan keadaan jiwa dan pengungkapan al-Quran yang wujud antara kekuatan mengangkat batu di atas kepala mereka dengan kekuatan berpegang teguh dengan perjanjian. Allah menyuruh mereka berpegang teguh dengan kandungan perjanjian dan berazam dengan gigih untuk melaksanakannya, kerana tidak ada sikap lembut dan lembik dalam urusan mematuhi akidah. Ia tidak menerima penyelesaian separuh dan bermain-main. Ia merupakan janji Allah dengan orang-orang yang beriman. Ia merupakan urusan yang serius dan benar. Oleh itu ia tidak mempunyai jalan yang lain melainkan sungguh-sungguh dan benar. Ia mempunyai taklif-taklif yang berat. Itulah sifat akidah. Ia merupakan satu urusan yang amat besar, lebih besar daripada isi alam al-wujud ini.
Oleh sebab itulah, ia pasti dihadapi oleh seseorang dengan hati yang bersungguh, berminat dan tahu segala tugas-tugasnya, hati yang bertekad dan berazam penuh untuk melaksanakan tugas-tugas itu. Setiap orang yang berpegang dengan akidah ini pastilah sedar bahawa dia telah memberi selamat jalan kepada kehidupan yang senang-lenang, kehidupan yang mewah dan empuk sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. kepada isterinya apabila beliau diseru menjalankan tugas dakwah yang bermaksud: ''Zaman tidur telah berlalu wahai Khadijah!''
No Comment
Post a Comment