Limpah kurnia Allah bukan milik satu kumpulan
Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Syed Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: ''Mereka membuat dakwaan panjang lebar yang menghairankan. Mereka sentiasa mendakwa bahawa mereka sahaja umat yang mendapat hidayat Allah. Mereka umat Allah yang pilih, mereka akan mendapat pahala daripada Allah dan mereka berhak mendapat limpah kurnia Allah tanpa dikongsi umat lain.''
Di sini (dalam ayat berikut) al-Quran mendustakan dakwaan tersebut dan menjelaskan salah satu dasar umum (Islam) yang tersirat di dalam kisah-kisah al-Quran atau disebut sebelum atau selepas kisah-kisah itu, iaitu dasar kesatuan dan persamaan akidah. Apabila akidah ini membawa seseorang menyerahkan dirinya kepada Allah dan beriman kepada-Nya dengan kukuh, maka terbitlah amalan-amalan soleh.
Al-Quran menjelaskan, kurniaan Allah bukan milik satu kumpulan atau kaum, ia dikurniakan kepada semua yang beriman pada setiap zaman dan tempat, masing-masing mengikut agama yang diwajibkan sehingga datang rasul yang membawa agama yang wajib dipegang oleh orang yang beriman.
SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERIMAN, KAUM YAHUDI, NASHARA (NASRANI), DAN ORANG-ORANG SHABIIN, SESIAPA SAHAJA DI ANTARA MEREKA ITU YANG BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT SERTA BERAMAL SOLEH, BAGI MEREKA PA
HALA DI SISI TUHAN MEREKA, DAN TIDAK ADA KEBIMBANGAN (DARIPADA BERLAKUNYA KEJADIAN YANG TIDAK BAIK) KEPADA MEREKA, DAN MEREKA PULA TIDAK BERDUKACITA. (Al-Baqarah:62)
Ibn Jarir at-Tabari meriwayatkan dalam tafsirnya, Jami' al-Bayan daripada as-Suddi bahawa sebab-sebab turunnya ayat ini diterangkan dengan panjang lebar. Secara ringkasnya ia diturunkan kepada sahabat-sahabat Salman al-Farisi yang berasal dari Jundaisabur dan beliau orang yang paling mulia di kalangan mereka. Kisah ini berakhir dengan keIslaman Salman yang menceritakan kepada nabi mengenainya.
Katanya: "Mereka orang yang kuat beribadat, berpuasa, bersolat dan beriman. Mereka pasti bersyahadah bahawa kamu Rasul yang akan dibangkitkan." Selepas Salman memuji sahabatnya, sabda Nabi s.a.w: ''Hai Salman, mereka dari kalangan ahli neraka.'' Salman membela sahabatnya: "Kalau mereka sempat bersamamu, mereka akan mengikutmu." Lantas Allah menurunkan ayat ini.
Firman Allah Taala 'Sesungguhnya orang-orang yang beriman', iaitu yang beriman menjadi pengikut setia Muhammad. An-Nasafi dalam, Madarik at-Tanzil berkata: "Mereka yang beriman dengan lidah sahaja tanpa membenarkan dengan hati, itulah golongan munafik. Pengertian iman mengikut ulama akidah, di antaranya melalui kitab Aqidah Islamiyyah oleh Dr. Mustafa Said al-Khin: "Iman dari segi bahasa, percaya dan membenarkan."
Ibn Manzur berkata di dalam Lisan al-Arab: Ulama-ulama bahasa Arab dan lainnya sepakat menyatakan bahawa pengertian iman adalah percaya dan membenarkan (tasdiq). Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah Yusuf, ayat 7: Dan sudah tentu ayah tidak akan percaya kepada kata-kata kami ini, sekali pun kami adalah orang-orang yang benar.
Sementara iman dari segi istilah syarak pula, percaya dan membenarkan segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. tentang segala ajaran agama yang mudah diketahui atau seumpamanya dengan dalil-dalil yang meyakinkan. Nabi Muhammad mentafsirkan pengertian iman dalam hadis yang panjang diriwayatkan oleh Umar al-Khattab r.a. ketika Baginda disoal Malaikat Jibril a.s.: Jibril berkata: "Beritahulah kepadaku pengertian iman!" Baginda menjawab: "Bahawa kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, Hari Kiamat serta Qada dan Qadar sama ada baik ataupun buruk.''
Lima pendapat mengenainya:
1. Kaum yang beriman dengan Nabi Isa a.s. sebelum dibangkitkan Nabi Muhammad. Ini pendapat Ibn Abbas.
2. Mereka beriman dengan Nabi Musa a.s. dan beramal dengan syariatnya hingga datang Nabi Isa a.s. Kemudian mereka beriman dengannya dan beramal dengan syariatnya hingga datang Nabi Muhammad s.a.w. Ini pendapat as-Suddi daripada guru-gurunya.
3. Mereka orang yang munafik. Ini pendapat Sufyan al-Thauri. As-Syaukani di dalam Fath al-Qadir berkata: ''Sesungguhnya maksud mereka yang beriman ialah golongan munafik, berdasarkan dalil Allah menjadikan mereka bersama orang Yahudi, Nashara dan golongan Shabi', iaitu mereka yang beriman pada zahirnya sahaja.
4. Bahawa mereka yang menuntut Islam seperti Qais bin Sa`idah, Buhaira, Waraqah bin Naufal dan Salman.
5. Mereka adalah orang yang beriman di kalangan umat ini.
'Dan orang-orang Yahudi' yang mengikut Nabi Allah Musa a.s. Iaitu
nisbah kepada Yahuza bin Ya'kub. Dan dikatakan perkataan 'hadu' bermakna mereka bertaubat kerana mereka bertaubat daripada menyembah anak lembu. Ada pendapat mengatakan maknanya tenang dan menyerahkan kepada Allah. Dalam al-Kasyaf disebut : Mereka masuk agama Yahudi.
'Dan orang-orang Nashara'(Nasrani)', yang mengikut Nabi Allah `Isa a.s. Sibawaih berkata: "Nashara kata jamak (banyak) daripada perkataan nashran dan nashranah. Ada pendapat menyatakan ia menggunakan 'Ya 'nasab (nisbah), lantas dikatakan lelaki Nasrani dan perempuan Nasraniah.''
Al-Khalil berkata: "Nashara, jika seorang-nashri.'' Menurut Al-Jauhari: "Nashran sebuah perkampungan di negeri Syam, dinisbahkan kepada orang-orang Nashara." Dan 'orang-orang Shabi`en', kaum yang berpaling daripada ajaran Yahudi dan Nasrani, juga menyembah malaikat.
Terdapat tujuh pendapat mengenai perbincangan ini:
1. Sekumpulan penganut Kristian yang paling lembut perkataannya. Mereka berkelana dengan kepala dicukur di tengahnya. Ini riwayat Ibn Abbas.
2. Kaum antara Yahudi dan Nashara (Kristian)- pendapat Sa`id bin Jubair.
3. Kaum seperti Majusi-pendapat al-Hasan dan al-Hakam.
4. Kaum antara Nashara dengan Majusi. Tiada agama-pendapat Mujahid.
5. Kumpulan Ahli Kitab. Mereka membaca kitab Zabur-pendapat Abu al-`Aliah.
6. Kaum yang sembahyang mengikut kiblat, menyembah malaikat dan membaca Zabur-pendapat Qatadah.
7. Kaum yang berkata: La ilaha illallah sahaja. Tiada sebarang amalan, kitab dan nabi- pendapat Ibn Zaid.
Keyakinan muktamad
'Sesiapa sahaja di antara mereka itu yang beriman kepada Allah'. Iman kepada Allah bermakna keyakinan yang muktamad bahawa Allah adalah Tuhan segala sesuatu. Dia memilikinya dan Dia yang menciptanya. Hanya
Dia berhak disembah seperti solat, puasa, doa, takut, mengharap dan merendahkan diri pada-Nya. Dia memiliki semua sifat yang sempurna dan Maha Suci daripada segala sifat kekurangan. Iman kepada Allah merangkumi keyakinan kita kepada tiga jenis tauhid; Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Asma wa Sifat.
Seseorang itu belum lagi tergolong sebagai orang yang beriman kepada Allah sehingga ia yakin dan percaya bahawa Allah adalah Rab (Tuhan yang Mencipta) segala-galanya dan tiada Rab selainnya dan Dia Ilah (Tuhan yang berhak disembah) oleh segala-galanya. Dan tiada Ilah selain-Nya, dan Dia Tuhan yang memiliki sifat-sifat dan nama-nama yang sempurna, dan tiada yang sempurna selain-Nya.
'Dan (beriman kepada) Hari Akhirat'. Kita maklum, perbahasan utama dalam akidah Ahli Sunah wal Jamaah enam perkara utama; rukun iman yang enam. Daripada enam perkara ini, tiga perkara paling utama; Iman kepada Allah, Rasul dan Hari Kiamat.
Dengan istilah lain disebut juga: Al-Wahdaniah (Keesaan Allah), Ar-Risalah (Kerasulan), Al-Ba'th (Kebangkitan). Ketiga-tiganya disebut juga sebagai tiga tunggak Aqidah Islamiyah. Hubungan antara rukun iman sangat rapat, lebih-lebih lagi antara tiga tunggak akidah di atas.
Al-Wahdaniah, ertinya tujuan kita dicipta oleh Allah untuk beribadat hanya kepada-Nya yang Maha Esa. Ar-Risalah, ertinya ibadah (perhambaan) kita kepada Allah hanya sempurna jika mengikut ajaran dan bimbingan Rasulullah s.a.w. Manakala al-Ba'th pula, ertinya segala bentuk perhambaan (ibadah) yang kita lakukan sesuai dengan panduan Rasulullah akan dihisab (dikira) pada Hari Kebangkitan, iaitu Hari Kiamat. Orang yang taat akan dimasukkan ke dalam syurga, yang derhaka akan dimasukkan ke dalam neraka.
Wal'iyazu billah. Iman pada Hari Kiamat maknanya secara umum, beriman kepada segala yang diberitakan tentangnya oleh Allah di dalam kitab-Nya dan yang diberitakan oleh Rasul-Nya tentang semua perkara yang berlaku sesudah mati, iaitu seksaan kubur dan nikmatnya, kebangkitan dari kubur, perhimpunan di padang mahsyar, kitab catatan amalan, perhitungan amalan dan timbangannya, sungai atau telaga, titian Siratal Mustaqim, Syafaat, Syurga dengan segala kenikmatannya dan neraka dengan segala seksaan yang terdapat di dalamnya.
'Serta beramal soleh', iaitu beramal dengan ketaatan kepada Allah di negeri dunia, 'maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka', sudah pasti mereka mendapat pahala yang besar di sisi Allah dan tidak diabaikan sekalipun sebesar zarah.
'Dan tidak ada kebimbangan (berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita'. Mereka yang beriman tidak merasa takut di Negeri Akhirat sebagaimana takutnya orang kafir terhadap balasan azab. Begitu juga orang-orang yang cuai merasa dukacita atas pembaziran umur dan meluputkan pahala ketika berada di dunia dahulu.
Ayat ini menjelaskan bahawa setiap yang beriman kepada Allah, Hari Akhirat dan mengerjakan amal soleh akan memperoleh ganjaran masing-masing di sisi Allah. Tiada lagi sebarang ketakutan kepada mereka dan mereka juga tidak berdukacita. Yang diambil kira di sini ialah hakikat akidah, bukannya bangsa atau kaum. Inilah kedudukan sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. Adapun kedudukan selepas kebangkitan beliau, maka corak dan bentuk keimanan yang akhir ini telah pun ditentukan Allah seperti kata Syed Qutub.
No Comment
Post a Comment