Mempelajari sihir tidak dapat balasan baik di akhirat

By mfrstudio

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

AL-IMAM al-Zahabi berkata: Sihir itu adalah termasuk dosa besar yang sangat diancam oleh syariat Islam. Al-Quran telah mempertalikan orang yang mengerjakan sihir atau orang yang mengajar yang lain daripada hal pekerjaan sihir itu dengan pekerjaan syaitan yang terkutuk. Ini kerana syaitan itu membuatkan kehidupan manusia menjadi kucar-kacir dan menarik manusia untuk berpaling daripada takdir Tuhan. Orang yang berjaya mensihirkan orang lain akan merasa senang hati terhadap penderitaan orang yang disihirnya, dan akan bercita-cita supaya penderitaan itu berterusan sehingga membawa mati, padahal Allah dan Rasul-Nya melarang cita-cita yang buruk terhadap sesama manusia.

Kemudian pekerjaan sihir itu selalunya bergantung kepada syaitan dan jin, yakni makhluk-makhluk terkutuk Allah, dan orang yang membuat sihir itu meletakkan sepenuh keyakinannya kepada makhluk jahat itu sehingga sampai ke peringkat penyembahan. Semua amalan ini adalah syirik, dan syirik itu adalah adik-beradik kufur. Oleh sebab itulah Allah s.w.t. menetapkan tempat orang-orang yang mengerjakan sihir dan yang bergantung kepada sihir dalam neraka jika mereka tidak segera bertaubat sebelum mati. Lantaran itu, hendaklah kita berhati-hati daripada perbuatan ini dan tidak menceburkan diri ke dalam golongan orang-orang yang membuat sihir ini.

Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedangkan mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)." Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari daripada mereka berdua ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telah pun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.

Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertakwa (nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala daripada sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui. (Al-Baqarah: 102 dan 103)

Firman Allah Taala, mereka (membelakangkan Kitab Allah) mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, iaitu mereka mengikut segala jalan sihir syaitan pada zaman pemerintahan kerajaan Nabi Sulaiman. Padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, Dan sekali-kali Sulaiman bukanlah ahli sihir. Begitu juga bukan kafir dengan sebab belajarnya ilmu sihir.

Dua sebab nuzul ayat ini:

* Apabila Rasulullah s.a.w. menyebut Nabi Sulaiman termasuk di kalangan rasul-rasul, lantas sebahagian pendita Yahudi berkata: “Adakah kamu merasa takjub dan hairan dakwaan Muhammad bahawa anak Daud sebagai Nabi! Demi Allah, bukanlah dia kecuali penyihir.” Lantas Allah s.w.t. menurunkan ayat ini. Inilah pendapat Ibn Ishaq, begitu juga al-Suddi, al-Rabi’ dan Ibn Zaid. Hal ini telah dinyatakan oleh Ibn al-Jauzi dalam kitabnya Zad al-Masir dan al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jami’ Li Ahkam al-Quran.

* Golongan Yahudi tidak bertanya Nabi sesuatupun daripada Taurat kecuali dijawab. Lantas mereka bertanya berkenaan sihir dan cuba bermusuhan dengannya, kemudian turun ayat ini. Inilah pendapat Abu al-‘Aliyah. Akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir. Akan tetapi syaitan-syaitanlah yang mengajar manusia ilmu sihir sehingga tersebar antara manusia.

“Dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), iaitu sebagaimana mengikut ketua-ketua Yahudi ilmu sihir, begitu juga telah mengikut apa yang diturunkan ke atas dua malaikat iaitu Harut dan Marut dan apa yang diriwayatkan dengan kerajaan Babylon di bumi Kufah. Sesungguhnya Allah menurunkan kepada kedua-duanya sebagai ujian kepada manusia.

“Sedangkan mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya).”

Maka sesiapa yang mempelajari sihir untuk menolak kemudaratan daripada manusia maka sesungguhnya dia selamat. Sebaliknya siapa yang mempelajari untuk memberi mudarat kepada manusia nescaya dia binasa lagi sesat.

Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari daripada mereka berdua ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, iaitu mereka belajar daripada kedua-duanya, iaitu ilmu sihir yang membawa kepada perpisahan antara suami isteri selepas kedua-duanya berkasih sayang antara satu sama lain. Padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah.

Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telah pun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Iaitu sesungguhnya orang Yahudi mengetahui bahawa mereka telah mencampakkan kitab Allah dan menukarkan dengannya ilmu sihir dan bagi mereka tiada sebarang habuan daripada mendapat rahmat Allah, tidak dari syurga kerana mereka telah melebihkan sihir atas kitab Allah.

Al-Zahabi dalam kitab al-Kabair berkata: “Kini kita lihat ramai orang yang termasuk dalam golongan yang sesat disebabkan mereka mempraktikkan sihir dan menganggapnya sebagai haram semata-mata. Namun mereka tidak menyangka sama sekali bahawa mengerjakan sihir itu termasuk pekerjaan kufur. Mereka mengajarkan ilmu siraf (serafah) dan mempraktikkannya, padahal ilmu tersebut adalah sihir. Ia berlaku dalam mengikat kecintaan suami terhadap isterinya, ataupun menimbulkan kebencian antara kedua-duanya yang mana ia adalah sihir. Dan masih banyak lagi kalimat-kalimat misteri pada umumnya adalah syirik dan sesat.

Adapun hukuman terhadap tukang sihir itu adalah bunuh disebabkan dia telah kufur kepada Allah, atau cenderung kepada kekufuran. Sedangkan Nabi s.a.w. dengan tegasnya telah bersabda: “Jauhilah tujuh dosa besar.” Oleh itu setiap orang mestilah takut kepada Allah dan janganlah memasuki sesuatu yang akan merugikan dirinya, baik di dunia mahupun akhirat.

Ancaman daripada melakukan sihir jelas terbukti berdasarkan hadis riwayat al-Tirmizi. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Hukuman terhadap ahli sihir adalah dipenggal (lehernya) dengan pedang.” Tetapi pada setengah riwayat mengatakan bahawa kata-kata ini sebenarnya daripada ucapan Jundub.

Dan daripada Bujalah bin Abdah, dia mengatakan: “Telah sampai kepada kami (surat) perintah daripada Saidina Umar r.a. setahun sebelum kewafatannya menyuruh kami membunuh setiap tukang sihir baik lelaki mahupun wanita.”

Wahab bin Munabbih pula mengatakan: “Aku telah membaca beberapa kitab yang mana terdapat di dalamnya firman Allah: “Tidak ada Tuhan melainkan-Ku, bahawa bukan daripada golongan-Ku orang yang menyihir dan orang yang mengupah yang lain untuk membuat sihir, orang yang meramal dan orang yang minta diramalkan, orang yang bertilik dan orang yang minta orang lain untuk menilikkan.”

Daripada Saidina Ali bin Abi Talib, katanya: “Tukang tilik dan tukang sihir adalah kafir.”

Abu Musa al-Asy’ari r.a. berkata, sebagaimana riwayat Imam Ahmad bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tiga golongan yang tidak memasuki syurga iaitu orang pencandu arak, orang yang memutuskan hubungan silaturahim dan orang yang mempercayai perbuatan sihir.”

Dan kalaulah mereka yang belajar ilmu sihir beriman dengan Allah dan takut azabnya, sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui. Nescaya Allah Taala memberi balasan pahala yang besar ke atas mereka, jauh lebih baik daripada apa yang mereka sibukkan dengan ilmu sihir yang tidak mendatangkan apa-apa kepada mereka kecuali kehinaan dan kerugian.

No Comment

Post a Comment