Musyrikin dan Yahudi sama-sama sesat
Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
SYEIKH al-Maraghi berkata: Kalamullah sebagai bangkangan ke atas siapa yang ingkar wahdaniah Allah dan menjadikan sekutu bagi-Nya. Dan kalam di sini juga merujuk kepada sesiapa yang ingkar kenabian Nabi Muhammad s.a.w. dan menuduh pada ayat-ayat yang datang dengannya.
Setelah selesai membentangkan perkataan kaum Ahli Kitab yang mendakwa bahawa Allah s.w.t. mempunyai anak, membenar serta menolak dakwaan itu, maka diiringi pula dengan perkataan kaum Musyrikin yang sama buruknya dengan kefahaman kaum Ahli Kitab.
Dan (orang-orang musyrik) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata: “Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada kami sesuatu keterangan (mukjizat)?” Demikian pula orang-orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka; hati mereka (sekeliannya) adalah bersamaan (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami telah pun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka. (Al-Baqarah: 118 dan 119)
Firman Allah s.w.t., Dan (orang-orang musyrik) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata: Dikehendaki dengan mereka ialah orang musyrikin yang jahil daripada kalangan kafir Quraisy. Al-Syaukani berkata dalam Fath al-Qadir: Iaitu golongan Yahudi, dan ada pendapat menyatakan golongan Kristian. Inilah yang ditarjihkan oleh Ibn Jarir kerana mereka disebutkan dalam ayat. Sedangkan Syeikh Sya'rawi pula berkata: Maksud mereka yang tidak mengetahui sesuatupun berkenaan dengan kitab Allah kerana mereka kufur.
Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad). Semoga Allah s.w.t. bercakap secara langsung dengan kita atau diturunkan wahyu ke atas kita bahawa kamu wahai Muhammad sebagai Rasul-Nya. Terdapat tiga pendapat ulama:
1. Mereka adalah golongan Yahudi. Inilah pendapat Ibn Abbas.
2. Mereka adalah golongan Kristian. Inilah pendapat Mujahid.
3. Mereka adalah golongan musyrikin Arab. Inilah pendapat Qatadah dan al-Suddi daripada guru-gurunya.
“Atau datang kepada kami sesuatu keterangan (mukjizat)?” Sebagai bukti dan hujah yang nyata atas kebenaran kenabianmu. Mereka berkata demikian itu secara angkuh dan ingkar. Al-Imam al-Nasafi dalam Madarik al-Tanzil berkata, hal ini disebabkan keingkaran mereka sehingga apa yang didatangkan kepada mereka daripada ayat Allah dan menghina dengannya.
Demikian pula orang-orang (kafir) yang terdahulu dari mereka. Terdapat tiga pendapat ulama:
1. Mereka adalah golongan Yahudi. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Mujahid.
2. Mereka adalah golongan Yahudi dan Kristian. Inilah pendapat al-Suddi daripada guru-gurunya.
3. Mereka adalah golongan Yahudi, Kristian dan lain-lain dari kalangan kafir. Inilah pendapat Qatadah.
“Pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka.” Iaitu seumpama kenyataan yang batil lagi keji ini. Golongan pendusta sebelum mereka telah berkata terhadap Rasul-rasul terdahulu. Yang dimaksudkan dengan orang-orang yang tidak mengetahui (di sini) ialah orang-orang Arab yang ummi dan Musyrikin kerana mereka tidak mempunyai apa-apa ilmu pengetahuan yang diambil daripada kitab suci. Mereka seringkali mencabar Nabi s.a.w. supaya Allah s.w.t. berbicara dengan mereka secara langsung atau menunjukkan kepada mereka sesuatu mukjizat daripada mukjizat-mukjizat fizikal.
Tujuan perkataan ini disebut di sini adalah untuk menyatakan bahawa segolongan manusia sebelum mereka iaitu kaum Yahudi dan lainnya pernah membuat tuntutan seperti ini kepada Nabi-nabi mereka. Contohnya, kaum Musa a.s. telah menuntut ingin melihat Allah secara terangan-terangan. Mereka juga berdegil dengan menuntut mukjizat-mukjizat yang luar biasa. Oleh itu ternyatalah bahawa di antara kaum Musyrikin dan kaum Yahudi terdapat titik-titik persamaan dari segi tabiat, kefahaman dan dari segi kesesatan.
“Hati mereka (sekeliannya) adalah bersamaan (degil dan kufur).” Bagaimana hati-hati mereka dan sebelum daripada mereka penuh dengan buta, ingkar dan pendustaan terhadap Nabi-nabi. Maka hal ini merupakan tasliyah bagi Rasulullah s.a.w. iaitu kaum Yahudi tidak melebihi kaum Musyrikin. Hati mereka sama sahaja dari segi kefahaman, kedegilan dan kesesatan.
Sesungguhnya Kami telah pun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin. Sesungguhnya Kami telah jelaskan segala dalil dan bukti bagi kaum yang menghendaki kebenaran dan keyakinan. Semuanya telah mengatakan dengan kebenaran apa yang kamu bawa dengannya.
Orang yang mencapai keyakinan yang mantap di dalam hatinya akan menemui bukti keyakinannya dalam ayat-ayat itu, dan akan menemui ketenteraman hatinya pada ayat-ayat itu. Ayat-ayat itu sendiri tidak mewujudkan keyakinan, malah keyakinanlah yang dapat memahami maksud ayat-ayat itu dan menjadikan hati yakin kepada hakikatnya. Seterusnya keyakinanlah yang menyediakan hati manusia untuk melakukan penerimaan yang betul dan sampai kepada hakikatnya.
Setelah selesai membentangkan perkataan-perkataan mereka dan mematahkan dakwaan-dakwaan mereka yang karut serta mendedahkan motif-motif yang tersembunyi di sebalik dakwaan-dakwaan mereka yang sangat sesat, al-Quran tujukan pula pembicaraannya kepada Rasulullah s.a.w.. Ia menerangkan kepadanya garis-garis tugas dan tanggungjawab-tanggungjawabnya serta mendedahkan kepadanya hakikat pertarungan yang wujud antara Baginda s.a.w. dengan kaum Yahudi dan Nasara juga bentuk pertikaian yang tidak dapat diselesaikan melainkan dengan membayar harga yang tidak dapat dilakukan oleh Baginda. Sekiranya Baginda s.a.w. menunaikan harga itu, Baginda s.a.w. akan terdedah kepada kemurkaan Allah s.w.t. yang menjadi Penaungnya. Sudah tentu amat jauh sekali kepada Baginda s.a.w. untuk bertindak begitu.
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran. Dikehendaki dengan al-Haq di sini tiga pendapat:
1. Al-Quran sebagaimana pendapat Ibn Abbas.
2. Islam seperti mana pendapat Ibn Kaisan.
3. Kebenaran atau sidq.
Ungkapan ini mengandungi penegasan yang menghapuskan segala kekeliruan yang ditimbulkan oleh para penyesat, penipu-penipu dan pendusta-pendusta. Nada ungkapan yang kuat ini menyarankan ketegasan dan keyakinan.
“(Serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar).” Kami telah mengutuskanmu wahai Muhammad dengan syariat yang jelas, agama yang sebenarnya di samping memberi berita gembira kepada orang yang beriman dengan nikmat syurga, dan peringatan serta amaran terhadap orang kafir dengan azab neraka jahanam. Maksudnya, tugasmu ialah menyampaikan berita gembira kepada orang-orang yang taat dan memberi amaran kepada orang-orang yang menderhaka. Di sinilah tamatnya perananmu.
“Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.” Kamu tidak ditanya, kenapa mereka tidak beriman selepas kamu menyampaikan dakwah terhadap mereka. Iaitu orang-orang yang masuk ke dalam neraka dengan perbuatan-perbuatan maksiat mereka, kerana merekalah yang bertanggungjawab terhadap diri mereka.
No Comment
Post a Comment