Semua nabi adalah pilihan Allah
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
DARI bahagian kisah Ibrahim a.s. setakat ini, ayat yang berikut mengambil makna dan saranannya untuk dikemukakan kepada orang-orang yang menentang hak kepimpinan umat Islam, menentang hak kenabian dan kerasulan Rasulullah s.a.w. serta mempertikaikan hakikat agama Allah yang tulen serta benar.
Firman Allah: Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).
(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Serahkanlah diri (kepada-Ku wahai Ibrahim)!” Nabi Ibrahim menjawab: “Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Al-Baqarah: 130 dan 131)
Firman Allah s.w.t., Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim. Ibn al-Jauzi berkata, sebab nuzul ayat ini bahawa Abdullah bin Sallam memanggil dan mengajak dua anak saudaranya yang bernama Muhajir dan Salamah supaya memeluk Islam. Kemudian Salamah memeluk Islam sedangkan Muhajir menentangnya. Lantas turunnya ayat ini.
Al-Imam al-Suyuti dalam Asbab al-Nuzul juga menyebut kisah ini berdasarkan nukilan daripada Ibn Uyainah.
Al-Tabari berkata, Allah maksudkan demikian itu kepada golongan yahudi dan nasrani. ini kerana pilihan mereka sebagaimana yang dipilih oleh golongan yahudi dan nasrani atas Islam. Pendapat dan dakwaan bahawa memilih yahudi dan nasrani adalah bidaah bukan sekali-kali daripada Allah.
Selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri. Siapa yang benci agama Ibrahim dan ajarannya yang terang lagi baik kecuali ia sebagai orang yang menghina dirinya sendiri dan bodoh. Empat pendapat dalam kalangan ulama:
1. Maknanya kecuali siapa yang memperbodohkan dirinya. Inilah pendapat Akhfasyh dan Yunus.
2. Maknanya kecuali siapa yang membinasakan dirinya. Inilah pendapat Abu Ubaidah.
3. Maknanya kecuali siapa yang dibodohkan dirinya atau nafsunya. Inilah mazhab al-Farra' dan Ibn Qutaibah.
4. Maknanya kecuali siapa yang menjahilkan dirinya dan tidak fikir padanya. Inilah pilihan al-Zajjaj.
5. Al-Baghawi menaqalkan pendapat Ibn Abbas iaitu siapa yang merugikan diri sendiri.
6. Al-Nasafi berkata, iaitu orang yang tidak memikirkan diri sendiri sehingga meletakkan kejahilan pada dirinya.
Kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; ini kerana Kami memilihnya antara sekalian makhluk dengan kerasulan, kenabian dan imamah. Al-Samarqandi berkata: Kami memilihnya di dunia dengan kenabian, kerasulan, Islam dan khullah (sebagai kekasih Allah). Dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya). Sedangkan ia dari kalangan yang hampir dengan Allah dan mendapat kedudukan yang tinggi. Ibn al-Anbari berkata: Daripada kalangan orang soleh keadaannya di sisi Allah sedangkan al-Zajjaj berkata: orang yang soleh di akhirat ialah orang yang berjaya.
(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: Serahkanlah diri (kepada-Ku wahai Ibrahim)! Serah dirilah kepada urusan Tuhanmu dan ikhlaslah terhadapnya. Beliau tidak teragak-agak, tidak diam, tidak menyeleweng, malah terus menyambut sebaik sahaja menerima perintah itu. Al-Baghawi berkata: Hendaklah kamu istiqamah atas Islam dan thabitlah padanya kerana ia adalah orang Islam. Ibn Abbas berkata, beliau berkata demikian ketika keluar dari al-Sarb. Al-Kalbi berkata: maksudnya ialah hendaklah kamu ikhlas pada agamamu dan ibadatmu semata-mata kerana Allah. Athar pula berkata, Islamlah dirimu kepada Allah s.w.t. dan serahkanlah segala urusan dirimu kepadanya.
Al-Maraghi berkata, Ibrahim mula kehidupannya dalam suasana kaum penyembah berhala dan bintang kemudian menerangi mata hatinya dan mengilhamkannya kebenaran, sehingga ia mendapati bahawa bagi alam buana ini hanya satu tuhan yang mentadbir dan mengatur segala urusan dan kepada-Nya akan dikembalikan, justeru nabi Ibrahim tanpa ragu-ragu menyahut seruan tuhan supaya beliau menjadi orang Islam benarlah.
Nabi Ibrahim menjawab, “Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” Sesungguhnya aku telah serah diri segala arahan dan urusan Allah serta patuh dan tunduk dengan hukum-Nya. Inilah agama Ibrahim, iaitu agama Islam yang tulen dan terang. Ibn Abbas berkata, sesungguhnya dia telah mentahqiqkan kebenaran itu dengan tidak meminta pertolongan dengan mana-mana makhluk termasuk malaikat ketika peristiwa dia dicampak ke dalam api.
Nabi Ibrahim tidak cukup dengan dirinya sendiri sahaja, malah beliau meninggalkan agama ini kepada zuriat keturunannya. Beliau mewasiatkan agama ini kepada anak cucunya. Mula-mula beliau mewasiatkan kepada anak-anaknya, kemudian Ya'qub (cucunya) mewasiatkan agama ini kepada anak-anaknya pula. Ya'qub ialah Israel yang menjadi asal-usul keturunan Bani Israel tetapi Bani Israel tidak menyambut wasiat Ya'qub, wasiat datuknya (Ishak) dan wasiat moyang mereka (Ibrahim).
Al-Alusi berkata: Maksud sekalian alam di sini untuk pemberitahuan betapa sempurnanya kekuatan Islamnya sehingga beliau yakin ketika memerhati dan melihat kesyumulan rububiah-Nya kepada sekalian alam bukan kepada dirinya sahaja, sebagaimana yang diperintahkan dengannya secara zahir.
Iktibar dan Pengajaran ayat
Antaranya:
* Semua ajaran nabi termasuk nabi akhir zaman Rasulullah s.a.w. adalah sama dari segi akidahnya iaitu menyeru pengabdian kepada Allah dan menjauhi taghut seperti dinaskan di dalam al-Quran, tetapi yang membezakan antara mereka ialah syariat yang mengikut kesesuaian umat ketika itu.
* Semua nabi adalah pilihan Tuhan dan Nabi Ibrahim antara golongan yang tinggi martabatnya di sisi Allah selain daripada Nabi Muhammad s.a.w.
* Sifat menyerah diri kepada Allah dalam erti kata lain mengislamkan semua kehidupannya kepada Allah merupakan tuntutan sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini.
* Sewajarnya kita menanamkan sifat ikhlas dalam segala tindakan kita apatah lagi yang membabitkan masalah ibadat kerana ia menatijahkan penerimaan ibadat tersebut atau sebaliknya dan membawa kepada mendapat pahala atau tidak. Ini juga termasuk kerja-kerja yang kita lakukan dalam menjalani kehidupan di dunia.
No Comment
Post a Comment