Pekak, bisu dan buta kemuncak penghinaan kepada orang kafir

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SYEIKH al-Maghari berkata: Kemudian Allah s.w.t merakamkan keatas mereka kesempurnaan kesesatan mereka dan menyebut bilangan jenayah dan kesalahan mereka.

Dan apabila dikatakan kepada mereka: Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah. Mereka menjawab: (Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami. (Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk.

Dan perumpamaan (orang yang menyeru) orang-orang kafir adalah seperti penggembala yang memanggil binatang yang tidak mendengar selain panggilan dan seruan saja. Mereka tuli, bisu dan buta, maka (oleh sebab itu) mereka tidak mengerti. (al-Baqarah: 170-171)

Sebab turunnya ayat:

Ibn al-Jauzi menyebut tiga pendapat ulama berkenaan kepada siapa turunnya ayat ini:

i. Mereka yang dikatakan bagi mereka (makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal dan baik). Atas alasan ini jadilah ha' dan mim kembali ke atas mereka, inilah pendapat Muqatil.

ii. Diturunkan kepada Yahudi, ia merupakan kisah yang baru, justeru jadilah ha' dan mim sebagai kinayah tanpa disebut. Inilah yang dinyatakan oleh Ibn Ishaq daripada Ibn `Abbas.

iii. Ia adalah berkaitan dengan orang Musyrikin Arab dan kaum kafir Quraisy, Justeru jadilah ha' dan mim kembali kepada firmannya yang bermaksud; Dan daripada manusia siapa yang mengambil selain daripada Allah sekutunya.

Seterusnya Ibn Jauzi meneruskan dengan katanya: Mengikut pendapat yang pertama, adalah dikehendaki dengan apa yang Allah s.w.t. turunkan, ialah menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram.

Sedangkan pendapat yang kedua dengan Islam dan berkenaan dengan pendapat yang ketiga dengan tauhid dan Islam.

Firman Allah s.w.t.: Walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun dan tidak mendapat petunjuk. Walaupun begitu, mereka terus berdegil mengikut tradisi-tradisi datuk nenek mereka. Tidakkah ini suatu kebekuan fikiran dan taqlid yang amat buruk. Oleh sebab itulah ayat yang berikut melukiskan keadaan mereka dengan satu gambaran yang hina yang layak dengan bentuk taqlid dan kebekuan fikiran mereka (yang buruk) itu, iaitu gambaran binatang ternakan yang tidak mengerti suatu apa yang dikatakan kepadanya, malah apabila tuannya memekik kepadanya, ia hanya mendengar bunyi suara tuannya sahaja tanpa memahami maksudnya, malah mereka lebih sesat daripada binatang kerana binatang melihat, mendengar dan bersuara, sedangkan mereka pekak, bisu dan buta.

Al-Qurtubi berkata: Ulama kita berpendapat; kekuatan segala lafaz ayat ini memberi jawapan berkenaan dengan pembatalan taqlid dan seumpamanya. Ini berdasarkan kepada ayat 104 daripada surah al-Maidah yang bermaksud: Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (al-Quran) dan kepada rasul-Nya yang menyampaikannya. Mereka menjawab: Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya adakah mereka akan menurut juga sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?

Ayat ini yang sebelumnya mempunyai kaitan dengan sebelum ayat kedua-duanya. Yang demikian kerana Allah mengkhabarkan berkenaan dengan kejahilan Arab berdasarkan kepada peraturan dan hukuman mereka dengan pendapat yang bodoh semata-mata kerana taqlid.

Memanggil binatang

Firman Allah s.w.t: Dan perumpamaan (orang yang menyeru) orang-orang kafir adalah seperti pengembala yang memanggil binatang yang tidak mendengar selain panggilan dan seruan saja. Mereka tuli, bisu dan buta, maka (oleh sebab itu) mereka tidak mengerti.

Tiga pendapat berhubung dengan makna ayat ini:

i. Seumpama muka yang kafir seperti binatang yang dipanggil oleh penggembalanya, inilah pendapat al-Farra' dan Tha'lab.

ii. Dihuraikan dengan maksud, jika penggembala berkata kepada binatang gembalaan makan, minum dan sebagainya nescaya muka tidaklah faham apa yang dikatakan. Begitulah umpama orang kafir apabila didatangkan al-Quran dan perintah rasulnya.

iii. Seumpama mereka yang kafir dan seumpama kami dalam peringatan kepada mereka seperti penggembala yang memanggil akan ternakkannya. Inilah pendapat Ibn Qutaibah dan al-Zajjaj.

iv. Seumpama mereka yang kufur dalam doa mereka terhadap tuhan-tuhan mereka yang disembah sama seperti yang memanggil binatang ternakan. Inilah pendapat Ibn Zaid.

Mereka sebenarnya pekak, bisu dan buta walaupun mereka mempunyai telinga, lidah dan mata selama mereka tidak mengambil faedah dari pancaindera itu seolah-olah tidak melaksanakan tugas-tugas biasa yang dijadikan untuknya dan seolah-olah mereka dikurniakan telinga, lidah dan mata.

Inilah kemuncak penghinaan terhadap mereka yang tidak menggunakan akal fikirannya, menutup jendela-jendela makrifah dan hidayat dan menerima bimbingan-bimbingan dalam urusan akidah dan syariat bukan daripada pihak yang wajar mereka menerima bimbingan-bimbingan dalam urusan akidah dan syariat.

Petunjuk

Benarlah kata Syeikh al-Maghari dalam ayat ini merupakan petunjuk bahawa taqlid tanpa akal dan faham daripada sifat orang kafir. Sedangkan orang mukmin hendaklah berakal dengan agamanya, mengetahui dirinya, mencukupi kesahihannya kerana bukanlah maksud daripada iman itu dijinakkan manusia untuk kebaikan seperti dijinakkan haiwan . Tetapi maksud daripada itu untuk menaikkan taraf akalnya, suci jiwanya dengan ilmu dan makrifah. Maka dia beramal kebaikan kerana dia adalah manfaat yang Allah reda dan meninggalkan kejahatan kerana ia memberi mudarat pada agama dan dunianya.

Iktibar dan pengajaran ayat:

i. Budaya taqlid dengan mengikut pendapat orang lain tanpa sebarang ilmu pengetahuan, apatah lagi yang ditaqlid itu menyimpang daripada kebenaran maka jadilah amat parah dan bahaya. Ini menjadi lebih teruk jika taqlid dalam akidah dan iman yang mana orang yang ditaqlid menyeleweng seperti kata Syeikh al-Maghari.

ii. Jika seseorang mengikut rasul atau ahli ijtihad dengan berdasarkan ilmu, ia tidaklah dinamakan taqlid tetapi mengikut apa yang diturunkan Allah s.w.t. Al-Qurtubi telah menaqalkan pendapat Ibn Darbas yang menyebut betapa celarunya pemikiran ahli yang sesat yang menganggap dengan berpegang kepada kitab dan sunnah sebagai taqlid.

iii. Perumpamaan kufur seperti pekak, bisu dan buta merupakan perumpamaan yang paling kemuncak kerana bandingaan antara orang yang berakal dengan haiwan yang tidak berakal ialah ia tidak mampu berkata-kata dan memahami maksud.

No Comment

Post a Comment