Kufur besar - Boleh terkeluar daripada Islam

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


IBN Jarir at-Thobari menyatakan, tiada sesuatu yang lebih besar daripada bertembung dengan kematian dan selepasnya. Kemudian diamankan mereka daripadanya. Dan Allah s.w.t. berfirman pada ayat seterusnya berhubung orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan rasul-rasul-Nya. Seterusnya dinyatakan balasan mereka pada ayat berikut:

DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR DAN MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KAMI, MEREKA ITU PENGHUNI NERAKA, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA. (Surah al-Baqarah ayat 39)

Firman Allah s.w.t.: `Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, iaitu mereka yang ingkar dengan apa yang Aku turunkan dan dengan apa yang Aku utuskan. Syeikh as-Syarbaji melalui tafsirnya, Tafsir al-Bashair berkata: ``Mereka yang derhaka dan ingkar wahdaniyah Allah serta syirik dengan-Nya, di samping mereka ingkar dan mendustakan ayat-ayat Kami pada segala kitab yang Kami turunkannya kepada mereka.'' Ibn Jauzi berkata di dalam tafsirnya, Zad al-Masir, pada `ayat-ayat Kami' di atas terdapat tiga pandangan ulama:

i. Bermaksud sebagai tanda. Justeru makna `ayat' ialah tanda pemisahan kalam yang sebelum dengan yang selepasnya. Inilah pilihan Abi Ubaid.

ii. Bahawa dinamakan `ayat' kerana ia himpunan huruf-huruf daripada al-Quran.

iii. Bahawa dinamakan `ayat' kerana ia amat ajaib, seperti mana yang dinyatakan Ibn al-Anbari.

Dikehendaki dengan `ayat-ayat' di sini dengan empat pendapat:

i. Segala ayat dalam kitab-kitab yang dibaca.

ii. Segala mukjizat nabi-nabi.

iii. Al-Quran.

iv. Tanda-tanda kuasa Allah pada segala perbuatannya.

Ulama Usuluddin atau akidah membincangkan permasalahan kufur dalam kitab masing-masing.

Kufur pada bahasa adalah tutup, kerana hati orang kafir tertutup atau terkunci mati daripada mendapat hidayah Allah.

Sedangkan kufur menurut istilah syarak ialah lawan daripada iman, iaitu tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya sama ada kekufurannya itu diikuti dengan mendustakan Allah dan Rasul-Nya ataupun tidak diikuti dengan pendustaan.

Malahan seseorang telah dihukumkan kufur jika syak atau ragu-ragu atau berpaling atau takabbur terhadap kebenaran, atau menurut hawa nafsu sehingga enggan mengikuti ajaran Rasulullah s.a.w.

Kufur terbahagi kepada dua bahagian:

1. Kufur Akbar (kufur besar).

2. Kufur Asghar (kufur kecil).

Kufur

Kufur Akbar boleh mengeluarkan seseorang daripada agama Islam. Kufur jenis ini ada lima bahagian:

1. Kufur Takzib, iaitu mendustakan ayat-ayat Allah atau hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

2. Kufur Iba'wa Istikbar, iaitu kufur kerana enggan dan takabbur terhadap kebenaran, walaupun ia mengakui kebenaran tersebut. Di antara contohnya ialah seperti keengganan dan kesombongan Iblis ketika disuruh sujud oleh Allah kepada Adam a.s.

3. Kufur Syak atau Kufur Zann iaitu kufur ragu terhadap Hari Kiamat. Ini seperti ucapan orang kafir yang Allah kisahkan di dalam Surah al-Kahfi ayat 35 hingga 37.

4. Kufur I`rad, iaitu kufur kerana berpaling daripada peringatan Allah. Di antara dalilnya ialah firman Allah di dalam Surah al-Ahqaf ayat 3.

5. Kufur Nifaq, iaitu kufur kerana menzahirkan keIslamannya dengan lisan tetapi tidak melaksanakan ajaran Islamnya dengan hati dan amalan.

Kufur Nifaq terbahagi kepada dua jenis:

a. Nifaq I`tiqadi, iaitu munafiq I`tiqad. Jenis nifaq ini tempatnya di bahagian neraka paling bawah (Ahl ad-Dark al-Asfali min an-Nar). Kufur ini terbahagi kepada enam bahagian:

i. Mendustakan apa yang datang daripada Allah.

ii. Mendustakan sebahagian daripada apa yang datang daripada Allah.

iii. Mendustakan Rasulullah s.a.w. atau apa yang datang daripadanya.

iv. Mendustakan sebahagian daripada apa yang datang daripada Rasulullah s.a.w.

v. Benci terhadap kejayaan dan kemenangan Islam.

vi. Gembira dengan kemunduran Islam.

b. Nifaq `Amali, iaitu munafik amalan. Nifaq jenis ini tidaklah sampai mengeluarkan orang yang berkenaan daripada agama Islam. Dan nifaq ini terbahagi kepada lima bahagian:

i. Jika bercakap ia berbohong.

ii. Jika berjanji ia mungkir.

iii. Jika diberi amanah ia mengkhianatinya.

iv. Jika ia berkelahi ia berdendam.

v. Jika bersumpah ia menipu.

Sementara kufur asghar pula, contohnya ialah :

1. Kufur Nikmat, iaitu kufur kerana tidak mensyukuri nikmat Allah, dalilnya di dalam Surah an-Nahl ayat 112.

2. Kufur kerana membunuh orang Muslim, Seperti riwayat Bukhari dan Muslim.

3. Kufur kerana bersumpah dengan selain nama Allah. Seperti riwayat Tirmizi dan Sahih mengikut al-Hakim.

Hakikat

`Mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya', iaitu mereka yang kekal dalam neraka jahim.

Bagi menjelaskan lagi hakikat neraka, dinaqalkan di sini kenyataan Abu Laith as-Samarqandi melalui kitabnya, Tanbihul Ghafilin, berhubung dengan bab sifat api neraka dan sifat ahlinya:

i. Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ``Api neraka dinyalakan selama seribu tahun sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian dilanjutkan seribu tahun lagi sehingga hitam gelap, bagaikan malam yang kelam.''

ii. Abdullah bin Jubair meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Bahawa di dalam neraka ada ular-ular sebesar leher unta, jika ia menggigit, rasa pedihnya biasanya tetap terasa hingga empat puluh tahun. Juga di dalam neraka ada kala jengking sebesar keldai, jika ia menggigit, akan merasa pedih biasanya selama empat puluh tahun.

iii. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya seringan-ringan seksaan ahli neraka iaitu seorang yang berdiri kedua-dua belah kakinya di dalam neraka, dan mendidih otaknya, seolah-olah di telinganya ada api, dan giginya berapi dan bibirnya ada wap api, dan keluar ususnya dari bawah kakinya, bahkan ia merasa bahawa dialah yang terberat seksanya daripada semua ahli neraka, padahal sangat ringan seksanya daripada semua ahli neraka.

iv. Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Allah memanggil Malaikat Jibril dan menyuruhnya melihat syurga dengan segala persiapan untuk ahlinya, maka ketika kembali, Jibril berkata: Demi kemuliaan-Mu tiada seorang yang mendengarnya melainkan ia akan masuk ke dalamnya, maka ia akan diliputi dengan serba kesukaran, dan menyuruh Jibril kembali melihatnya, maka Jibril kembali melihatnya dan ia berkata, Demi kemulian-Mu saya khuatir kalau-kalau tiada seorang pun yang masuk ke dalamnya. Kemudian disuruh melihat neraka dan semua yang disediakan bagi ahlinya, maka kembali Jibril dan berkata, Demi kemuliaan-Mu tidak akan masuk ke dalamnya orang yang telah mendengarnya, kemudian diliputi dengan kepuasan syahwatnya, dan diperintah supaya kembali melihatnya kemudian setelah dilihatnya kembali, Jibril berkata, Saya khuatir kalau tiada seorangpun melainkan akan masuk ke dalamnya.

v. Daripada Abdullah bin Amr r.a. berkata: Orang-orang neraka memanggil Malaikat Malik, tetapi tidak dijawabnya selama empat puluh tahun, kemudian ia menjawab: Bahawa kamu tetap tinggal dalam neraka. Kemudian mereka berdoa (memanggil) Tuhan: Ya Tuhan keluarkanlah kami dari neraka ini, maka apabila kami mengulangi perbuatan-perbuatan kami yang lalu itu, bererti kami zalim, maka tidak dijawab selama umur dunia ini dua kali, kemudian dijawab: Hina kamu di dalam neraka dan jangan berkata-kata. Demi Allah setelah itu tidak ada yang dapat berkata-kata walau satu kalimat, sedang yang terdengar hanya nafas keluhan dan tangis rintihan yang suara mereka hampir menyamai suara himar (keldai).

vi. Seorang pujangga berkata: Dalam usia tua itu cukup pengalaman untuk mencegah orang yang tenang daripada sifat keanak-anakan, apabila telah menyala api di rambutnya (beruban). Saya melihat seseorang itu ingin hidup tenang apabila dahan pokok yang menguning sesudahnya hijau. Jauhilah kawan yang jahat, dan berhati-hatilah jangan menghubunginya, tetapi apabila tidak dapat, maka ambil hati-hatinya. Dan berkawanlah pada orang yang jujur, tetapi jangan suka membantah padanya, engkau pasti akan disukai selama kamu tidak membantah kepadanya. Berkawanlah dengan orang bangsawan dan berakhlak, baik budinya. Maka sesiapa yang berbuat baik pada orang yang tidak berbudi, bererti ia telah membuang budi itu dalam laut. Dan Allah mempunyai syurga yang sebesar langit, tetapi diliputi dengan kesukaran-kesukaran.

No Comment

Post a Comment