Amin - Penutup segala doa

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


GHAIRIL MAGHDHUBI `ALAIHIM WA LADHAALIN. Selepas diterangkan ahli nikmat, disebut golongan yang terkecuali daripada mendapat nikmat iaitu ada dua golongan :

1. Golongan yang dimurkai Allah.

2. Golongan yang sesat. Ibn Qutaibah berkata : Sesat ialah hairan dan menyimpang daripada kebenaran.

Riwayat at-Tirmizi menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. menamakan golongan yang dimurkai ialah Yahudi dan golongan yang sesat ialah Nasara. Hadis ini seperti kata at-Tirmizi - hasan gharib. Tafsiran ini dikuatkan dengan riwayat Abdul Razzak.

Ibn Kathir berkata : Begitulah juga pendapat Ibn Abbas, ar-Rabi' bin Anas, Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam dan lain-lain.

Ibn Abi Hatim berkata : Aku tidak tahu di kalangan mufassirin yang menyalahi tafsiran ini.

Amalan

Ibn Kathir membezakan antara golongan yang mendapat nikmat dengan golongan yang tidak, iaitu jalan ahli iman berdasarkan kepada kebenaran ilmu dan beramal dengannya. Sedangkan Yahudi melupuskan amalan dan Nasara pula hilang pedoman ilmu. Justeru layaklah laknat ditimpa ke atas Yahudi dan kesesatan bagi Nasrani.

Ini kerana golongan yang tahu dan meninggalkan apa yang disuruh selayaknya dimurkai, berlainan dengan yang tidak mengetahui disangkanya benar tetapi bukan sebenarnya, ini adalah sesat.

Sebenarnya kedua-dua golongan ini Yahudi dan Nasara adalah sesat dan dimurkai, kecuali sifat yang lebih khusus murka ke atas Yahudi dan sesat bagi Nasara kerana thabit dengan nas-nas hadis dan athar.

Ayat ini membahagikan tiga golongan manusia :

1. Golongan yang mendapat nikmat Allah.

2. Golongan yang mendapat kemurkaan Allah.

3. Golongan yang sesat dan menyimpang daripada ajaran Allah.

Moga-moga Allah masukkan kita dalam golongan nikmat-Nya dengan sentiasa dapat hidayah dan taufik di atas landasan yang sebenarnya.

Kenapa Allah menisbahkan kepada-Nya pada nikmat, seperti ayat `yang telah Engkau kurnia nikmat' tetapi pada kemurkaan dan kesesatan tidak dinisbahkan kepadaNya seperti `yang Engkau telah murka dan sesatkan ?'

As-Syeikh as-Sobuni di dalam Sofwah at-Tafasir menjawab : yang demikian itu untuk mengajar hamba beradab dengan Allah, iaitu kejahatan dan keburukan tidak dinisbahkan kepada Allah secara beradab.

¥ AMIN, maksudnya : Perkenankanlah.

Menurut sunah, selepas dibaca al-Fatihah hendaklah dibaca `amin' berdasarkan dalil riwayat Ashab as-Sunan, Imam Ahmad dan lainnya daripada Wail bin Hujr daripada Rasulullah s.a.w. yang menyuruh dibaca panjang `aamin'.

Dalam riwayat Muslim, Abu Daud, an-Nasai dan lainnya daripada Abi Musa al-Asy'ari, sabda Rasulullah s.a.w. : Apabila pada ayat akhir Fatihah, maka letakkanlah `amin' nescaya diterima Allah bagimu.

Imam an-Nawawi berkata : Ini gesaan yang amat besar agar diaminkan. Kelebihannya jelas berdasarkan riwayat Syaikhan, Ashab as-Sunan dan lainnya daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : Apabila imam menyebut amin, hendaklah kamu aminkan bersama, kerana sesiapa yang aminnya bersamaan dengan amin malaikat, nescaya diampunkan baginya dosa yang terdahulu.

Mengikut ulama, amin diertikan dengan ``Ya Allah terimalah doa kami''. Inilah pendapat al-Hasan dan az-Zajjaj.

Ia boleh dibaca panjang atau pendek mengikut bahasa Arab.

Al-Hafiz al-Munziri berkata : Dikatakan amin merupakan satu nama daripada nama-nama Allah. Inilah juga pendapat Mujahid, Hilal bin Yasaf dan Ja'far bin Muhammad.

Dan dikatakan maknanya : Ya Allah perkenankan.

Kalimah

Ada pendapat menyatakan maksud amin ialah, begitulah yang diharap. Seperti yang dihikayatkan daripada Ibn al-Anbari daripada Ibn Abbas dan al-Hasan.

Ulama-ulama nahu menyatakan amin sebagai fi`el (nama perbuatan). Ia kalimah yang bukan daripada al-Quran secara ijmak. Justeru disunatkan pemisahan antaranya dengan akhir surah al-Fatihah dengan berhenti seketika.

Mengikut riwayat Abu Daud dengan sanad yang hasan daripada Abi Zuhair an-Namiri, sahabat Rasulullah s.a.w. yang apabila mendengar orang berdoa ia berkata : khatamkanlah doamu dengan amin kerana amin seperti cop di atas surah.

Ini dikuatkan lagi dengan riwayat ad-Dailami daripada Anas yang menyebut : sesiapa yang mengkhatamkan bacaan Fatihah dengan amin, nescaya tidak kekal di langit malaikat yang hampir, kecuali meminta ampun untuknya.

At-Tabarani di dalam kitabnya ad-Doa', dan Ibn Mardawaih dengan sanad yang daif daripada Abi Hurairah berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda : Amin, khatam Tuhan Rab al-Alamin di atas lisan hamba-hamba-Nya yang beriman.

Al-Allamah al-Munawi dalam syarah hadis ini berkata : Dengan makna bahawa amin mencegah doa daripada rosak dan ditolak, seperti metrai di atas surah menegah daripada dizahirkan ke tangan orang yang tidak layak.

Orang-orang yang menghendaki sesuatu dan mengaminkannya secara bersekutu akan mendapatkannya dengan doa.

Inilah yang diriwayatkan daripada Abdul Razzak, Ibn Jarir dan Abu as-Syeikh daripada Ikrimah katanya : Nabi Musa berdoa sedangkan Nabi Harun mengaminkan dan Allah memakbulkan untuk kedua-duanya.

Bacaan Fatihah menjadi syarat sah solat mengikut kebanyakan ulama seperti Malik, Shafie dan Ahmad. Sedangkan Mazhab Hanafi dan Abu Thur menganggap tidak wajib, tetapi riwayat Bukhari dan Muslim, hadis Ubadah bin as-Somit daripada Nabi s.a.w. sabdanya : Tidak sah solat tanpa bacaan Fatihah. Justeru pendapat jumhur lebih kuat dari segi dalilnya.

Selepas menyelami makna-makna dan maksud di sebalik tabir ayat demi ayat dalam al-Fatihah, didapati kalam Allah tidak mungkin dapat difahami dengan sepenuhnya oleh akal manusia sekalipun kebijaksanaannya dikurniakan. Inilah mukjizat al-Quran.

Makna dan maksud yang tinggi nilainya dan fahamannya merumuskan dasar-dasar kehidupan Muslim sama ada dari segi akidah, iman, syariat, akhlak hingga kepada tawajjuh kepadanya dalam permohonan hidayah dan istiqamah di atas jalan yang lurus.

Mukadimah dengan sebutan nama Allah sebagai pembuka bicara dan perbuatan orang-orang Islam yang hanya bergantung kepada-Nya sahaja dalam harapan dan pertolongan.

Luahan daripada lubuk hati kesyukuran yang mutlak kepada Allah di atas segala nikmat-Nya dijelmakan dalam ayat yang kedua.

Sifat-sifat Tuhan dipaparkan satu persatu bagi menggambarkan kekuasaan, kebesaran, kerahmatan, pemilikan mutlak dan kerajaan pada Hari Pembalasan.

Pengistiharan kehambaan untuk diabdikan hanya kepada-Nya sahaja, begitu juga permohonan dan pertolongan diungkap selepas lidah dibasahi dengan pujian.

Kemudian pengkhususan permohonan hidayah dilafazkan supaya sentiasa thabit di atas keimanan dan perjalanan orang-orang solihin. Tambahan dengan penjelasan hidayah kepada golongan yang Allah kurniakan nikmat.

Sebaliknya meminta berlindung daripada golongan yang dimurka dan sesat dalam melayari kehidupan dan dijauhi daripada jalan-jalan mereka agar sentiasa dalam inayah Allah s.w.t. Terangkum di dalamnya kisah umat terdahulu

Termakbul

Ditutup dengan khatimah doa - amin, semoga segala kehendak itu termakbul dan dimustajabkan Allah. Justeru surah ini dinamakan Um al-Kitab kerana terkandung di dalamnya segala maksud-maksud asas.

As-Syeikh Hasan al-Banna dalam penutup tafsir surah al-Fatihah mengungkap kata : Bersungguhlah kamu membaca dalam solat dan lainnya dengan perlahan dan penuh perhatian, khusyuk dan menghinakan diri, berhenti di setiap kepala ayat (tempat waqaf) dan berilah hak-hak bacaan mengikut tajwid tanpa menyusahkan dan memayahkan diri sehingga banyak menyibukkan lafaz-lafaz daripada makna-makna. Ini boleh menolong kefahaman dan tiadalah sesuatu yang lebih manfaat untuk hati daripada membaca al-Quran dengan tadabbur dan khusyuk.

1 Comment

Dari Abdullah r.a katanya:”Aku datang mengunjungi Rasulullah s.a.w ketika beliau sakit, lalu kusentuh baginda seraya berkata:”Ya Rasulullah! Demam anda bertambah teruk.” Jawab baginda,”Memang demamku sama dengan demam dua orang kamu. Kataku pula, “Semoga anda mendapat pahala berganda pula.” Jawab baginda:”Semoga!” Kemudian sabda baginda pula:”Tidak ada seorang muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah Taala dosa-dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya.”

(Muslim)

---------------
amin=semoga.

Post a Comment