Ibadah - Matlamat asal ciptaan jin dan manusia

By mfrstudio

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
AYAT ketiga (AR-RAHMAN AR-RAHIM). Maksudnya : Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dua sifat ini diambil daripada rahmat, ar-Rahman atas wazan - fa'lan - untuk menunjukkan lebih dan banyak, kerana hendak diibaratkan dengan banyaknya rahmat.

`Ar-Rahman' - sebahagian ulama menganggap khusus untuk nama Allah dan tidak digunakan sifat yang lain, hampir-hampir menjadi nama khusus. `Ar-Rahim' - juga diambil daripada rahmat, atas wazan - fa`ill - menunjukkan banyak tetapi lafaz `Rahman' lebih banyak hurufnya daripada `Rahim'. Dan keputusan kaedah oleh ulama bahasa Arab bahawa bertambahnya binaan huruf menunjukkan bertambah maknanya.

Secara umumnya, Rahman memberi makna segala nikmat yang besar. Sedangkan makna Rahim segala nikmat yang seni lagi kecil. Ada pendapat yang mengatakan bahawa kedua-dua lafaz ini memberi makna yang satu kecuali yang kedua menjadi penguat kepada yang pertama. Inilah pendapat as-Sobban dan al-Jalal. Tetapi pendapat ini daif. Ibn Jarir menegaskan, tidak ada di dalam al-Quran kalimah tambahan tanpa makna yang dimaksudkan. Himpunan antara ar-Rahman dan ar-Rahim kerana beberapa perkara:

- Penguat pujian kepada Allah dengan sifat rahmat-Nya yang memberi kesan kepada hamba-Nya.

- Meminta rahmat dan kasih sayang bagi menunjukkan sangat suka dengan nikmat Allah, ihsan dan banyak kurniaan-Nya.

- Isyarat kepada rahmat-Nya dengan mengutus nabi akhir zaman sebagai rahmat untuk sekalian alam, termasuk menurunkan al-Quran dan lain-lain.

- Isyarat kepada sempurnanya rahmat Allah yang besar dan seni terhadap hamba-Nya di dunia dan akhirat.

Kebanyakan lafaz `Rahman' digunakan dalam al-Quran merangkumi rahmat kepada orang Islam dan bukan Islam. Sedangkan lafaz `Rahim' digunakan untuk rahmat yang khusus bagi orang yang beriman. Justeru banyak ayat `ar-Rahim' datang dengan ibarat `al-Ghafur' Maha Pengampun yang tidak dapat kecuali orang yang beriman. Inilah khusus al-Quran.

Himpunan antara ar-Rahman dan ar-Rahim adalah di atas jalan takhsis (khusus) selepas umum. Inilah pendapat Sheikh Abdur Rahman Habannakah dalam tafsirnya, Ma`arij at-Tafakkur. Ibn al-Qayyim berkata: Himpunan antara ar-Rahman dan ar-Rahim mempunyai makna yang cukup indah, iaitu ar-Rahman menunjukkan sifat yang berdiri bagi Allah, sedangkan ar-Rahim menunjukkan bergantungnya dengan apa yang dirahmatinya, seolah-olah yang pertama sebagai sifat dan yang kedua sebagai perbuatan. Kemudian beliau menambah noktah ini : Kamu hampir tidak mendapati pada mana-mana kitab. Inilah pendapat yang rajih mengikut ahli tahqiq.

Faedah sebutan ar-Rahman dan ar-Rahim selepas lafaz `Rab al-`alamin' ialah lafaz Rab menggambarkan kebesaran, ketua dan kuasa. Boleh jadi tanggapan pandangan bahawa Rab ini amat keras tanpa kasihan belas terhadap hamba-Nya yang sudah tentu diselubungi hatinya perasaan takut dan putus asa. Justeru amat munasabah didatangkan dengan jumlah ini untuk mengesahkan bahawa Rab ini bersifat Rahman dan Rahim. Abu Hayyan dalam tafsirnya, Bahru al-Muhit berkata : Dimulakan dengan sifat rububiyah jika Rab dengan makna ketua, tuan atau pemilik yang berhak diabdikan. Jadilah ia sifat perbuatan baginya. Justeru sifat Rahmaniah dan Rahimiah dinyatakan untuk membuka ruang cita-cita hamba dalam memohon keampunan sekalipun sudah tergelincir.

- Ayat keempat (MALIKI YAUMID DIN). Maksudnya : Yang menguasai hari pembalasan. `Maliki' dengan dipanjangkan `ma' memberi maksud pemilik, sedangkan `ma' tanpa dipanjangkan memberi maksud raja. Kedua-dua bacaan ini mutawatir mengikut bacaan qurra' yang sepuluh. Syeikh Abdul Rahman Habannakah berkata : Dua bacaan ini saling menyempurnakan dalam menunaikan makna yang dikehendakinya. Allah pada hari tersebut adalah raja pada setiap sesuatu dengan kerajaan-Nya yang besar, tanpa sebarang sekutu dalam kerajaan-Nya walaupun dalam bentuk gambaran sekalipun. Allah juga pemilik pada hari tersebut yang tidak disertakan oleh mana-mana makhluk dalam pemilikannya.

`Yaum' dengan makna hari, masa, zaman dikehendaki juga dengan setiap sesuatu padanya yang maddi atau maknawi. `Ad-Din' bermakna agama atau disebut hari balasan dan penghisaban Allah terhadap hamba-Nya. Syeikh Sirajuddin berkata : Ayat ini menegaskan beberapa perkara:

- Ingatan kepada wujud dan benarnya hari ini sebagai pembalasan.

- Ingatan kepada amalan yang baik kerana pasti dibalas mengikut amalan masing-masing.

- Hikmah yang sebenarnya kerana orang baik dan jahat tidak sama, justeru hari ini sebagai pemisah.

- Dalil bahawa semua hamba yang mukalaf dikurniakan Allah akal, fikiran, ikhtiar dan kudrat yang memungkinkan bagi mereka melakukan kebaikan dan kejahatan. As-Syahid Syed Qutb mengibaratkan ayat ini dengan gambaran yang besar lagi mendalam berhubung dengan keseluruhan iktikad Hari Akhirat yang menjadi pemisah antara dua golongan manusia yang beriman dan yang ingkar. As-Syahid Hasan al-Banna menafsirkan bahawa jika perkara yang demikian, jadilah hamba yang mukalaf mencari kebaikan dan jalan yang selamat lebih penting daripada segala-galanya. Sabda Rasulullah s.a.w. di dalam hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim daripada hadis Syaddad bin Aus: ``Orang yang cerdik ialah orang yang sentiasa muhasabah dirinya dan beramal untuk bekalan selepas mati.'' Inilah juga kenyataan Umar al-Khattab : ``Hisablah (hitunglah) dirimu sebelum kamu dihisab.''

- Ayat kelima (IYYAKA NA'BUDU WA IYYAKA NASTA`IN). Maksudnya : Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan.

`Iyyaka na'budu'- Makna ayat ini seperti kata Ibn Abbas : Kami ibadah kepada-Mu dan tidak ibadah kepada yang lain. Didahulukan kalimah `kepadamu' daripada kalimah `kami ibadah', bertujuan kesungguhan prihatin dan orang Arab mendahulukan yang paling penting daripada yang penting seperti jawapan al-Qurtubi. Didahulukan yang kena buat (maf`ul) daripada perbuatan memberi maksud terbatas dan takhsis kepada ini sahaja. Dalam ibarat yang lain - Ya Allah kepada-Mu saja kami ibadah dan kepada-Mu sahaja kami minta tolong. Bahasa yang digunakan adalah ramai - kami ibadah dan kami minta tolong, sedangkan mungkin pelaku ibadah seorang saja.

Abi Su'ud berkata : Ini kerana pengiktirafan hamba betapa lalai dan cuainya dia ketika berdepan di pintu Raja segala Raja (Allah) yang dimintanya pertolongan hidayah secara perseorangan, seolah-olah dia berkata : Hai Tuhan, aku hamba yang fakir lagi hina tidak layak untuk munajat-Mu secara bersendirian. Justeru aku sertakan bersama ahli tauhid dan aku berdoa bersama mereka, justeru terimalah doaku bersama mereka. Ini kerana kami semua ibadah kepada-Mu dan meminta pertolongan dengan-Mu. Syeikh Abdullah Sirajuddin dalam tafsirnya menambah sebab yang lain, iaitu digunakan `kami' pada ibadah dan meminta tolong sebagai iklan betapa berhajatnya semua untuk ibadah kepada Allah yang menciptakan mereka.

Ibadah pada bahasa ialah kehinaan, ketundukan dan kepatuhan. Pada syarak pula ialah:

- Perlaksanaan hamba segala perbuatan dan perkataan yang disyariatkan Allah dengan disertakan ketaatan dan ketundukan untuk Tuhannya.

- Ibn Khatir mendefinisikan ibadah pada syarak dengan ibarat daripada himpunan kesempurnaan kasih sayang, tunduk dan takut.

- Ibn Jarir mendefinisikan ibadah ialah, taat, tunduk, patuh dan merendah diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t.; mengakui dan meyakini bahawa Allah sahajalah yang layak menjadi tumpuan segala ketaatan, tunduk patuh, merendah diri, takut dan mengharap.

- Al-Alusi pula mendefinisikan ibadah ialah, tahap tertinggi daripada segala ketundukan dan kepatuhan yang tidak mungkin berlaku dari segi syarak dan akal mengerjakan ibadah selain-Nya.

Ibadah diasaskan kepada beberapa faktor:

- Ma'rifah kepada Allah dan iktikad keEsaannya.

- Taat kepada Allah dengan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang melalui Rasulullah s.a.w.

- Pemerhatian bahawa kesemuanya itu bagi melaksanakan kewajipan hak Allah seperti hadis Muaz yang bersama Rasulullah s.a.w. ditanya tentang hak Allah terhadap hamba dan hak hamba terhadap Allah.

Rahsia ibadah dan kesannya:
Terdapat banyak kelebihan ibadah, antaranya:

- Menghampirkan diri kepada Allah.

- Dengan beribadah, hati, roh dan jasad hamba menjadi sebati dalam ketaatan.

- Dengan beribadah dapat menukar pengabdian yang umum kepada yang khusus.

- Dengan beribadah hamba berada dalam pemeliharaan Tuhan.

- Mendapat kegembiraan daripada Allah.

- Mendapat keamanan daripada Allah.

- Dapat mengecapi kemanisan iman.

`Iyyaka nasta`in'- Oleh kerana hamba semuanya fakir dan berhajat kepada Allah Yang Maha Kaya, Kuasa dan Sempurna, justeru permintaan hendaklah diadukan kepada-Nya juga. Hadis Mu'az, Nabi bersabda : ``Ya Mu`az, aku kasih kepadamu, aku wasiatkan supaya jangan kamu tinggalkan selepas solat doa ini, `Ya Allah tolonglah aku untuk mengingat-Mu, bersyukur kepada-Mu dan baik dalam beribadah kepada-Mu'.'' (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Meminta doa dan pertolongan kepada Allah merupakan arahan Allah dan Rasul-Nya melalui nas-nas al-Quran dan hadis.

Hikmah didahulukan ibadah daripada meminta tolong ialah:

- Ibadah adalah hak Allah, sedangkan meminta tolong adalah permintaan mereka.

- Doa yang didahulukan dengan ibadah amat mustajab, seperti doa orang berbuka puasa ketika berbuka adalah mustajab kerana ia dilakukan selepas beribadah, iaitu ibadah puasa.

- Ibadah merupakan amanah yang besar yang dipikul oleh manusia, meminta tolong kepada Allah nescaya Allah menolongnya sehingga dapat ditunaikan hak ibadah dan dapat keluar daripada kezaliman dan kejahilan.

- Konsep ibadah merupakan asal matlamat ciptaan jin dan manusia, justeru perlaksanaannya dengan meminta doa dan meminta pertolongan kepada Allah hingga akhir hayat.

No Comment

Post a Comment